“DARI RAHIM YANG SAMA” – NASKHAH BERANI YANG MENYENTAK EMOSI PENONTON
WATAK PALING KEJAM NABILA HUDA?
KISAH IBU SANGGUP NAFIKAN STATUS KELAHIRAN ANAK SENDIRI
Sebuah drama penuh emosi dan realiti kehidupan, Dari Rahim Yang Sama bakal menghiasi slot Samarinda bermula 14 April 2025, setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam. Drama ini bukan sekadar hiburan, tetapi sarat dengan mesej kemanusiaan yang mendalam – tentang kasih seorang kakak, pengorbanan, dan perjuangan menuntut pengiktirafan hidup.
Mengangkat isu yang jarang diperkatakan – anak tidak sah taraf dan kecuaian ibu bapa – drama ini membawa naratif yang menyentuh hati ramai. Diarahkan oleh Amor Rizan dan hasil nukilan Naza Manas, karya terbitan Anomali Media ini dijangka meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Barisan pelakon hebat:
- Nabila Huda
- Mhia Firdaus
- Rykarl Iskandar
- Rafique Iskandar
- Angeline Tan
- Kahoe Hon
Penonton pasti akan terkesima dengan lakonan penuh emosi, terutama watak Suraya lakonan Nabila Huda – seorang ibu yang bukan sahaja gagal menjalankan tanggungjawab, malah sanggup menafikan status kelahiran anak-anaknya sendiri.
Sinopsis:
Dari Rahim Yang Sama mengisahkan Balqis (Mhia Firdaus), remaja tabah yang tinggal di Kuala Lumpur bersama dua adik lelakinya, Aqil (Rykarl Iskandar) dan Afiq (Rafique Iskandar). Mereka adalah adik-beradik seibu tetapi berlainan bapa – lebih menyedihkan, ketiga-tiganya tidak pernah didaftarkan kelahirannya.
Tanpa sijil kelahiran, mereka tidak layak bersekolah dan dinafikan hak sebagai warganegara. Ibu mereka, Suraya (Nabila Huda), seorang GRO yang sering menukar pasangan dan langsung tidak ambil peduli tentang kebajikan anak-anaknya. Semua tanggungjawab di rumah digalas oleh Balqis – dari memasak, menjaga adik-adik, sehinggalah menguruskan hal rumahtangga.
Konflik memuncak apabila Suraya mengaku bahawa dia sengaja tidak mendaftarkan anak-anak kerana takut Balqis akan meninggalkannya suatu hari nanti. Ketegangan demi ketegangan mencabar semangat Balqis untuk terus berjuang demi masa depan yang lebih cerah.
Dari Rahim Yang Sama bukan hanya sekadar drama, tetapi satu suara buat anak-anak yang terpinggir dan tidak bersuara. Saksikan kisah menyayat hati ini bermula 14 April 2025 di slot Samarinda, jam 10 malam atau tonton awal 24 jam lebih awal secara eksklusif di Tonton. Jangan lepaskan!
Comments
Post a Comment