Filem: Akad yang Hilang

 

Akad yang Hilang 

Sebuah kisah adaptasi kisah benar.
Review Filem : AKAD YANG HILANG 
Sinopsis: 

Akad Yang Hilang mengisahkan Maryam yang merancang untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya, Ammar. Namun proses yang sepatutnya mudah bertukar menjadi ujian besar apabila Mahkamah Syariah mendedahkan perkahwinan ibu bapanya tidak sah kerana nikah fasid. 

Pendedahan ini bukan sahaja menggugat perkahwinannya, malah membuka luka lama tentang status, identiti dan maruah diri Maryam, ibunya serta adiknya, iaitu Zaki apabila isu tersebut tersebar, viral dan menjadi bahan kecaman masyarakat. 

Konflik bertambah apabila ibu Ammar pula tidak merestui hubungan Ammar dan Maryam lalu mencetuskan pergaduhan yang besar

Filem drama sosial arahan Bahri Uma Bajuri, skrip daripada Eenaz Mokhtar dan Zuli Ismail, terbitan Zuli Ismail, Reen Emran, Eenaz Mokhtar dan Syadhafiza Rosli ini menampilkan Mira Filzah sebagai Maryam dan Syarul Ezani sebagai Ammar. 

Gandingan mereka terasa natural dan beremosi, disokong lakonan mantap Idan Aedan, Aleza Shadan dan Sherie Merlis yang berjaya menghidupkan konflik keluarga dan tekanan sosial dengan baik.

Dari sudut penceritaan, sejujurnya plot filem ini terasa sedikit kurang kemas dengan beberapa peristiwa yang berlaku seakan terlalu kebetulan. 

Namun kelemahan ini dapat difahami kerana fokus utama filem jelas menjurus kepada kesedaran sosial khususnya tentang isu nikah fasid, iaitu pernikahan yang tak memenuhi rukun/syarat sah nikah ikut hukum syarak.

 Isu lain yang diketengahkan juga ialah buli siber, budaya mengecam, dan bagaimana setiap perkataan yang ditaip dan di-klik boleh memberi kesan besar terhadap emosi dan kesihatan mental seseorang

Filem ini berjaya menggambarkan realiti pahit tentang kesan perkahwinan fasid kepada keluarga dan anak, bagaimana masyarakat mudah menghukum tanpa empati, dan bagaimana tekanan awam boleh membawa kepada kemurungan emosi yang serius.

 Keberanian filem ini mengangkat isu sensitif yang jarang dibicarakan secara terbuka wajar dipuji, kerana ia mencerminkan situasi sebenar yang berlaku dalam masyarakat hari ini.

Mungkin ada penonton yang tidak menyukai ending AYH, namun hakikatnya begitulah kehidupan. Tidak semua cerita berakhir bahagia. 

Filem ini juga mengingatkan tentang pentingnya restu ibu bapa, khususnya lelaki kerana syurga seorang lelaki terletak di bawah tapak kaki ibunya. Teman wanita boleh pergi, isteri boleh terganti tapi ibu adalah doa yang tak pernah berhenti. Hanya satu dari hidup sampai mati.

Keseluruhannya, Akad Yang Hilang ialah sebuah filem yang berani, relevan dan sarat dengan mesej kemanusiaan walaupun plot penceritaan sedikit berat. Ia membuka ruang perbincangan, mengajak penonton berfikir dan menilai semula sikap kita sebagai masyarakat.

Rating: 7/10 ⭐

Daripada : Zetty Azaki Team Media Brader Filem 


Comments