Abang Adik

Sebuah filem tempatan yang pastinya akan membuatkan kita mengalirkan air mata.

Mengisahkan kehidupan dua adik beradik yang hidup gelandangan sejak kecil. Ketiadaan ibu bapa telah menafikan status mereka sebagai warganegara.
Abang (Kang Ren Wu) dilahirkan pekak dan bisu, namun masih boleh bergantung kepada alat pendengaran.
Walau bagaimanapun, semua komunikasi hanya melalui bahasa isyarat. Abang seorang yang bertanggungjawab dan bekerja sebagai pemotong ayam di pasar sekitar Pudu, Kuala Lumpur.
Adi (Jack Tan) seorang yang panas baran dan sering melakukan kesalahan yang mengecewakan abangnya.
Adi terlibat dengan pelbagai aktiviti haram untuk mendapatkan wang mudah. Natijahnya, abang turut terlibat dengan perbuatan Adi.
Kasih sayang yang keterlaluan Abang terhadap Adi membuatkan dirinya rasa dikasihi dan dihargai.
Setiap malam Abang akan memasak untuk Adi walaupun mereka bertengkar atau bergaduh.
Abang dan Adi tinggal di sebuah rumah flat yang daif. Mereka sering berdepan dengan pihak penguatkuasa yang menjalankan operasi menangkap warga asing.
Abang dan Adi mempunyai masalah untuk mendapatkan kad pengenalan memandangkan mereka hidup sebagai gelandangan sejak kecil.
Kehidupan rumit dengan permasalahan yang tidak berkesudahan amat merumitkan hingga mereka kadangkala berputus asa.
Namun, atas dasar kasih sayang Abang dan Adi, telah menguatkan lagi kasih sayang mereka berdua.
Di saat mereka meneruskan kelangsungan hidup, berlaku satu kejadian yang merosakkan kehidupan mereka.
Kejadian yang berpunca daripada Adi telah memusnahkan seluruh impian mereka untuk hidup aman.
Apakah kejadian itu dan bagaimana pengakhiran filem ini.
Anda perlu menontonnya.
Secara peribadi, filem ini berjaya membuatkan air mata saya mengalir walaupun cuba untuk mengelakkannya.
Filem ini banyak menyentuh elemen kekeluargaan, persaudaraan dan kasih sayang yang meruntun jiwa.
Pengarah berjaya mencorak penceritaan dengan baik ditambah pula kekuatan emosi menyedihkan.
Kendatipun begitu, plot sedikit perlahan dan kita perlu fahami maksud yang tersirat.
Kualiti lakonan tidak perlu dipertikaikan terutama Kang Ren Wu pelakon daripada Taiwan dan Jack Tan pelakon Malaysia.
Filem ini hasil sentuhan anak tempatan dan penggambaran dibuat di sekitar Pudu Kuala Lumpur.
Kekuatan filem ini berpunca daripada "emosi" jika tiada elemen tersebut, mungkin penceritaan akan perlahan dan bosan sepanjang masa.
Tidak hairanlah Abang Adik mencipta sejarah sebagai filem Asia Tenggara pertama menyapu bersih tiga hadiah utama di Far East Film Festival Ke-25 di Udine, Itali pada April lalu.
Malah Abang Adik mendominasi carta pecah panggung Taiwan pada minggu pertama dengan kutipan sebanyak NT$15mil (RM2.22 juta) sekali gus kutipan tertinggi untuk filem Malaysia.
Terdapat beberapa adegan yang membuatkan air mata saya mengalir dan puncaknya pada babak "telur rebus".
Saya boleh katakan majoriti dalam panggung mengalirkan air mata dan saya mendengar tangisan kecil penonton.
Walakin begitu, terdapat satu putar belit plot (plot twist) yang sedikit mengganggu duka lara saya.
Saya faham mengapa plot dibuat sedemikian untuk mengakhiri penceritaan yang lebih bermakna.
Terima kasih @GSCinema kerana menjemput saya menonton Tayangan Perdana serta bertemu barisan pelakon filem ini.
Walaupun filem ini tamat dua hari lalu, saya boleh merasai kesedihan yang mereka alami.
Jangan lupa menonton filem Adik Abang di pawagam @GSCinemas bermula 14 Disember ini.
Bawa bersama keluarga dan sahabat handai untuk menonton. Kasih sayang abang kepada adik (Adi) dalam filem ini akan membuatkan air mata kita gugur walaupun cuba untuk mengelakkan jatuh.

Rate 7.7

Comments