Telemovie lama tapi tetap best.Berdasarkan kisah benar. Hot trending sekarang!
BERMULA dengan hanya mendengar cerita seorang pensyarah di sebuah institusi ketika menjalani kursus pendek, Farizah Zahari terus tertarik untuk mengangkat cerita tersebut menjadi sebuah telefilem.
Begitulah antara permulaan pembikinan telefilem Melur vs Rajawali yang disiarkan pada 28 Mac (Sabtu), jam 12 tengah hari di saluran Astro 180 (TVi/RTM).
Menceritakan dengan lebih lanjut mengenai Melur vs Rajawali Farizah yang juga Penerbit Eksekutif Epixaa Film, berkata, ketika pertama kali mendengar cerita dari pensyarah, Al Jafree Md Yusop yang juga pengarah telefilem ini, dia dan rakan-rakan terhibur dengan kisah yang mencuit hati itu.
“Encik Al Jafree hanya berkongsi kisah pendek sahaja, tapi sudah cukup membuat kami berderai ketawa dan saya suka cerita ini kerana ia sangat kelakar.
“Dek kerana cerita yang menarik, saya mencadangkan pada Encik Al Jafree untuk diterbitkan dalam bentuk telefilem.
“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dan kami juga dapat kerjasama serta tema yang cukup hebat. Malah selaku penerbit, saya sangat berpuas hati dengan telefilem ini.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Saya harap telefilem ini dapat memberi manfaat pada penonton. Memang dijamin kelakar cerita ni,” katanya.
Tidak menolak permintaan pelajarnya itu, Al Jafree ketika dihubungi Zass berkata, kisah yang diceritakan itu adalah kisah benar yang pernah dilaluinya sendiri ketika bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh.
“Cerita ini cukup personal pada saya. Ia mengisahkan sekumpulan pelajar yang ditangkap kerana menceroboh asrama pelajar perempuan.
“Namun seiring dengan perkembangan semasa, saya olah sedikit ceritanya agar lebih bersesuaian,” jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai pembikinan telefilem ini, Al Jafree berkata, penggambaran ‘Melur vs Rajawali’ dilakukan sekitar Ogos tahun lalu.
Penggambaran selama 10 hari itu dilakukan di Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur, Cheras melibatkan barisan pelakon berbakat besar seperti Shafie Naswip, Amirul Afendi, Sharifah Amani dan ramai lagi.
“Saya kira cukup bertuah kerana barisan pelakon yang terlibat dalam telefilem ini adalah mereka yang ada dalam senarai pertama para pelakon yang saya mahu.
“Bahkan saya kira, ini penggambaran paling mudah dan lancar yang pernah saya jalani kerana proses produksi dan sesi latihan sudah berlangsung sebulan sebelum penggambaran.
“Jadi segalanya sudah difikirkan dan apabila tiba hari penggambaran, ia hanya direalisasikan sahaja. Kalau ada pun masalah, hanya masalah kecil melibatkan soal teknikal,” ujarnya lagi.
Keserasian Shafie-Amani
Di tanya mengenai pemilihan Shafie dan Amani sebagai barisan pelakon utama, Al Jafree berkata, mereka merupakan gandingan yang tepat.
“Saya pernah bekerjasama dengan Shafie dan Amanie dalam pembikinan filem Gangster Rock bersama Sofi Jikan. Saya lihat mereka berdua mempunyai bakat yang besar dan paling penting sekali keserasian.
“Walaupun Amani lebih tua dari Shafie, tapi dalam telefilem ini, saya tukar, Shafie lebih tua daripada Amani. Jadi nak lihat berjayakah mereka bawa watak masing-masing, kenalah tonton telefilem.
“Apa yang saya harapkan penonton akan terhibur dengan telefilem ini,” katanya.
Melur vs Rajawali mengisahkan Azlan, seorang pelajar yang sering bertukar sekolah dan berpindah-randah kerana mengikuti ayahnya yang bekerja sebagai seorang Diplomat di luar negara.
Namun Azlan yang kini berusia 16 tahun kembali bersekolah di Malaysia dan dimasukkan ke tingkatan empat di sekolah berasrama penuh Maktab Sains Nasional.
Dia tinggal di asrama Rajawali iaitu asrama lelaki yang paling ‘glamor’ sekali. Semua pelajar-pelajar lelaki popular tinggal di situ manakala di seberang asrama Rajawali ialah asrama Melur iaitu asrama perempuan yang paling ‘glamour’ kerana tujuh dari sepuluh yang tersenarai sebagai pelajar perempuan paling cantik sekolah tinggal di situ.
Kali pertama Azlan sampai dia agak berminat untuk mengetahui dan mengenali semua pelajar-pelajar perempuan yang tersenarai. Dia mengambil hampir dua minggu untuk mengenali kesemuanya kerana nasibnya yang tidak begitu baik apabila sangat sukar baginya bertemu dengan pelajar yang di tangga pertama iaitu Hanna.
Berjayakah Azlan mengenali Hanna? Apakah yang akan terjadi seterusnya kepada mereka? Jangan lupa untuk menyaksikan telefilem ini.-sinar harian
Jom tonton telemovie melur vs rajawali
Comments
Post a Comment