Jemputan ke Neraka

 


JEMPUTAN KE NERAKA (2023) : CELAH MANA ENTAH NERAKANYA


Dir : Amor Rizan

Genre : Buli di Balas Buli

Origin : Stadium Bukit Jalil


SINOPSIS :


Ivy (Janna Nick) dah lama nak makan nasi kenduri. Bila dia dapat jemputan kahwin dari kawan lama zaman sekolah dulu, lantas dia bersemangat dan mengajak tunang dia, Norman (Hafreez Adam ) yang kacak, tampan serta hafal lagu Damelo. Norman keberatan nak pergi sebab pehal lokasi macam kat hutan, tapi sebab Norman pun fetish nasi kenduri, dia pun pergi jugak.


Tiba di tempat kenduri, Norman terkejut sebab bertemu kawan-kawan sekolah dia dulu seperti Rania (Sharifah Sakinah), Fiq (Hariz Hamdan) dan beberapa lagi kawan lama lain, padahal ini jemputan kawan Ivy. Ivy juga turut terkejut sebab nasi kenduri tak ada. Tak sangka, ingat derma je ada scam, kenduri pun ada scam.


ULASAN :


1. Kawan aku pernah cerita, dia tumpang kawan dia naik motor nak pergi kerja. Kawan dia tu pulak kalau tengah naik motor suka nau ajak orang belakang sembang.


2. Satu hari tu, kawan dia yang depan tu terbersin masa tengah sembang, lantas percikan bersin itu kena muka kawan aku. Baru nak lap, dengan pantas pulak meresap ke wajah ala krim siang Hada Labo.


3. Dan bau percikan bersin itu dianggap sungguh 'Neraka' oleh kawan aku kerana ada gabungan aroma cili kering dan enzim mesra hijau-hijau cendol. Sejak itu dia berazam beli motor sendiri.


4. Berdasarkan kisah benar di atas, dari segi istilah, perkataan Neraka ni perkataan yang subjektif dan fleksibel juga maksudnya walaupun dalam kamus dewan, ia merujuk ke alam Akhirat.


5. Cuma untuk orang yang hidup ni, perkataan Neraka tu lebih merujuk pada perasaan sengsara, derita atau terseksa sama ada dalam hal situasi atau suasana.


6. Kalau kita tengok dalam konteks filem atau hiburan pulak, perkataan Neraka pun banyak diguna dalam tajuk mereka.


7. Contoh, filem Isi Neraka (1960) yang cerita pasal ciri orang stok-stok masuk Neraka. Kalau kaki gusti WWE pulak, The Batu dengan Setongkol pun suka masuk Neraka iatu Hell in the Cell atau Neraka dalam Reban.


8. Dalam filem Jepun Girl Hell (1999) pulak, anak sendiri jadi mangsa kesetanan celah kelangkang ayahnya pun dianggap dalam Neraka.


9. Bermakna, kebanyakannya menggunakan perkataan Neraka tu nak memberikan perasaan Neraka yang mereka cipta dalam filem.


10. Lagi pun letak je perkataan Neraka, macam dah ada auto attraction dah, macam, waah, mesti filem ni sungguh sengsara persis sengsara setelah di-reject ketika melamar di konsert Coldplay dengan ayat, "Awak terlalu baik untuk saya."


11. So filem Jemputan ke Neraka ni camana? Rasa tak Nerakanya?


12. Kat mata aku la, aku tak rasa pun celah mana entah Nerakanya secara fizikal dalam filem ni.


13. Ivy? Ada la sikit kepala berdarah. Norman? Sikit calar kat hidung pun takde. Rania? Dari mula sampai abis lawa je. Fiq? Kemeja tak koyak ooo. Dah tu celah mana Nerakanya?


14. Serius aku kata, kau nak cari pembalasan seksaan bapak segala puas hati tahap aku potong kepala kau lepas tu jual kat Shoppee untuk sale 12.12 memang takde. Sebab fokus 'Neraka'nya bukan kat situ.


15. Sebaliknya, Neraka filem ni berfokus pada beratnya beban kacau bilau perasaan setiap watak yang masing-masing ada sejarah menjahanamkan atau dijahanamkan.


16. Sebab walaupun filem ni nampak senang je macam kau buat jahat maka kau akan dapat la balasan macam dalam I Spit on Your Grave (1978), tapi filem ni tak macam tu.


17. Ia nak bercerita secara lebih yang emosi beban Neraka dendam tu bukan setakat aku nak kau mati, tapi aku nak kau tahu kenapa kau mati tapi dalam masa yang sama aku tak suka apa aku buat.


18. Jadi filem ni perasaan Neraka tu sampai tak kat penonton? Bagi aku ia telah membuat sebuah ending yang 'bijak' lantas berjaya buat setiap watak faham kehendak 'Neraka' pengarah.


19. Cuma sebab filem ni bergantung harap kat penyampaian perasaan, penonton kena la rasa benda tu. Kalau tak, mesti rasa filem ni tawar cam biskut Jacob.


20. Kesimpulannya, kalau dapat kad jemputan kahwin, search location kat Maps atau Waze dulu.


21. Dah tahu location dalam hutan pun sibuk nak pergi! Kalau dah kemaruk nak makan nasi minyak kenduri, datanglah ke Restoran Nasi Kahwin Hari-Hari kat KL, tak payah masuk hutan!


22. Aku akhiri dengan serangkap pantun,


"2-3 kucing berlari, mari makan nasi kenduri."



Comments